Thursday 17 May 2012

Nutrisi untuk perkembangan kanak-kanak


Otak kanak-kanak memerlukan nutrien yang mencukupi agar dapat berfungsi secara optimum. Pada peringkat awal usia, otak kanak-kanak berkembang dengan begitu pesat. Hasilnya, pada usia lima tahun, perkembangan otak mereka sudah mencapai 90 peratus dan kadar tersebut sangat berkait rapat dengan pemakanannya.

Untuk perkembangan otak, ada beberapa nutrisi penting yang diperlukan. Antaranya ialah DHA (asid dokosaheksaenoik), zat besi, zink dan asid folik.
DHA
DHA atau asid dokosaheksaenoik merupakan sejenis asid lemak omega-3 yang boleh didapati dalam setiap sel pada tubuh. DHA penting untuk perkembangan otak, mata dan sistem saraf pusat. Kajian yang dijalankan oleh Perbadanan Keselamatan Pemakanan Eropah (EFSA) mendapati kanak-kanak berusia enam bulan sehingga dua tahun memerlukan sebanyak 100 miligram DHA untuk perkembangan otak mereka.

DHA merupakan elemen utama yang diperlukan untuk membentuk sel membran neuron yang menjadi penghubung antara sel yang lain serta mempengaruhi fungsi neurotransimitter acetylcholine dan membantu sel otak berhubung. Memberi anak diet harian yang kaya dengan DHA akan menjadikannya lebih fokus dan dapat memberi penuh tumpuan ketika bermain dan belajar. Antara makanan yang mengandungi DHA ialah ikan, telur dan ayam.
Zat Besi
Zat besi sangat penting untuk memudahkan pembentukan hemoglobin dalam sel darah merah dan mencegah anemia. Ketahuilah bahawa otak kanak-kanak sensitif terhadap paras zat besi yang rendah. Kekurangan zat besi yang berlaku di kalangan kanak-kanak boleh merencatkan keupayaan pembelajaran mereka. Pada masa yang sama, kekurangan tersebut turut menyebabkan mereka hilang tumpuan, wujud simptom Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), pucat dan lesu. Penyelidik mendapati zat besi membantu meningkatkan aktiviti neurotransmiter di dalam otak. Sumber makanan yang kaya zat besi ialah seperti daging merah, hati, limpa, ikan bilis, tauhu dan tempe.
Zink
Zink penting untuk fungsi otak yang betul dan kekurangan zat besi dikaitkan dengan kelemahan kognitif. Kekurangan zink akan menyebabkan tumbesaran kanak-kanak terbantut, penurunan fungsi imuniti dan kurang selera makan. Daging dan makanan laut adalah sumber terbaik zink. Kekacang, germa gandum, bijirin penuh, makanan laut dan daging mempunyai kandungan zink yang tinggi.
Asid Folik
Asid folik yang juga dikenali sebagai folate merupakan mineral yang diperlukan untuk pertumbuhan sempurna bagi seseorang kanak-kanak. Asid ini penting bagi pembinaan DNA dalam setiap sel. DNA berperanan sebagai penyimpan maklumat bagi sel tersebut. Kanak-kanak yang kekurangan asid folik akan letih, lesu, kurang tumpuan, cepat marah dan pelupa. Sayur-sayuran hijau adalah sumber asid folik yang terbaik.

Makanan yang perlu dielakkan :

1. Makanan Bergaram
Makanan yang mengandungi terlalu banyak garam bukan sahaja menjadi pemangkin kepada masalah tekanan darah tinggi dan arteriosclerosis tetapi juga boleh merosakkan arteri. Keadaan ini seterusnya memberi kesan kepada bekalan darah ke tisu otak yang akan menyebabkan sel-sel otak mengalami ischaemia dan hypoxia yang menyebabkan hilang memori dan otak terencat. Keperluan garam bagi tubuh ialah 7 gram untuk orang dewasa dan kurang daripada 4 gram sehari bagi kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan agar kurangkan memberi anak makanan yang banyak garam seperti jeruk dan makanan ringan.

2. Makanan Yang Mengandungi MSG
Kajian perubatan menunjukkan bahawa ibu hamil yang selalu makan makanan yang mengandungi MSG atau monosodium glutamate pada peringkat akhir kehamilan boleh menyebabkan kekurangan zink pada bayi yang dikandunginya. Kekurangan zink boleh menyebabkan gangguan otak, pertumbuhan terencat, disleksia serta daya tahan penyakit terjejas. Tanda seseorang kanak-kanak itu kekurangan zink dapat dilihat apabila mereka tiada selera, hilang deria rasa dan susah sembuh. Oleh yang demikian, World Health Organization menggalakkan agar wanita hamil dan kanak-kanak tidak diberi makanan yang mengandungi MSG.

3. Plumbum
Kandungan plumbum yang tinggi dalam tubuh sangat membahayakan. Plumbum boleh mengganggu fungsi otak manusia. Kanak -kanak yang terlibat dengan masalah ini boleh menjadi hiperaktif dan mendapat sawan. Umumnya, plumbum yang terdapat di persekitaran boleh diperoleh daripada tanah yang tercemar, serpihan-serpihan cat, debu yang mengandungi plumbum, air yang dimasak atau disimpan di dalam bekas yang mengandungi plumbum, buah-buahan terutama yang berasid yang diletakkan dalam bekas berplumbum dan pensel warna serta warna air (apabila dimasukkan ke dalam mulut).

Dari segi biologi, plumbum sebenarnya tidak mempunyai apa-apa nilai dalam tubuh walaupun di dalam kepekatan yang paling kecil. Oleh itu kepekatan yang paling sesuai bagi kandungan plumbum dalam darah ialah sifar. Kanak-kanak lebih terdedah kepada bahaya dan keracunan plumbum kerana plumbum mudah diserap oleh tubuh yang sedang berkembang. Pengumpulannya di dalam badan yang sedang membesar akan mengganggu pertumbuhan semula jadi sel-sel di dalam tubuh.

Kanak-kanak mudah terdedah kepada kandungan plumbum tinggi terutama bagi yang gemar memasukkan apa juga barangan ke dalam mulut mereka. Kanak-kanak juga berupaya menyerap 50 peratus plumbum lebih tinggi berbanding orang dewasa. Kadar penyerapan ini meningkat sekiranya seseorang kanak-kanak itu mengalami kekurangan zat makanan. Kajian perubatan menunjukkan bahawa plumbum boleh membunuh sel otak dan merosakkan otak.

No comments:

Post a Comment