Wednesday 16 May 2012

pemakanan seimbang kanak-kanak





Kanak-kanak memerlukan nutrien yang mencukupi di dalam pemakanan mereka untuk perkembangan yang sihat dan optimum dari semua aspek iaitu intelek, fizikal, emosi, rohani dan sosial. Kebanyakkan nutrien diperolehi dari pelbagai jenis makanan dan perlu diambil dalam kuantiti yang sesuai. Pengambilan nutrien yang tidak seimbang akan mengakibatkan pelbagai masalah kepada kanak-kanak seperti masalah kurang berat badan, obesiti dan anemia. Jadi guru perlu merancang menu makanan yang seimbang mengikut piramid makanan supaya murid-murid prasekolah mendapat khasiat pemakanan yang secukupnya. Berikut merupakan jenis-jenis nutrien yang diperlukan oleh badan.


a) Karbohidrat
Karbohidrat menyediakan sumber tenaga yang utama yang diserap segera ke dalam sistem tubuh manusia. Karbohidrat menyumbangkan kira-kira 50% daripada pengambilan tenaga yang diperlukan oleh tubuh manusia. Karbohidrat terdiri daripada gula (gula, glukos, sirap, madu, laktos), kanji (tepung gandum, kanji, kentang, ubi kayu dan kanji tulin koko) dan beberapa selulosa, gam dan pektin. Karbohidrat banyak terdapat dalam bijiran seperti beras, gandum, dan sepertinya.

b) Protein
Protein mengandungi beberapa zat seperti asid amino. Protein kelas pertama kebanyakannya boleh diperolehi daripada binatang. Sementara protein sayuran pula mengandungi protein kelas kedua dan sedikit protein kelas pertama.

c) Lemak
Lemak menyediakan lebih dua kali ganda nilai kalori yang diperolehi daripada karbohidrat dan menjadi sumber utama lemak tubuh. Sebenarnya lemak penting kepada manusia kerana merupakan tenaga yang tersimpan di dalam tubuh yang diperlukan untuk menjalankan sebarang aktiviti. Secara purata, lemak membekalkan 355 daripada pengambilan tenaga. Lemak juga mengandungi vitamin larut lemak dan asid lemak yang penting kepada penyatuan selaput sel.

d) Galian
Zat galian yang mengandungi kompaun bukan organik yang penting kepada pemakanan manusia. Ia berperanan dalam pembentukan struktur tulang dan unsur yang diperlukan dalam tisu organik dan cairan badan seperti hemoglobin darah. Zat mineral banyak terdapat dalam susu dan telur. Ia juga banyak terdapat dalam buah dan sayuran.

e) Vitamin
Vitamin adalah bahan kimia yang terkandung dalam kebanyakan makanan. Ia membantu tubuh mengurai dan menggunakan unsur asas makanan, protein, karbohidrat dan lemak. Sesetengah vitamin turut terbabit dalam penghasilan sel darah, hormon, bahan genetik dan kimia dalam system saraf. Tidak seperti karbohidrat, protein dan lemak, vitamin dan mineral tidak membekalkan kalori tetapi membantu badan mendapatkan tenaga dari tubuh.

f) Serat
Serat atau serabut dalam diet permakanan membantu penghadaman dan mengelak sembelit. Sayuran dan buah segar (termasuk buah kering) dan bijiran merupakan sumber serat penting. Untuk meningkatkan kebaikan serat, amat penting untuk minum banyak air.

Makanan berkhasiat penting untuk kanak-kanak kerana ia membekalkan nutrien untuk perkembangan dan pertumbuhan. Selain itu,ia juga membekalkan tenaga untuk aktiviti fizikal dan mental serta dalam mengekalkan ketahanan badan terhadap jangkitan. Makanan yang berkhasiat juga menyediakan bekalan nutrien yang cukup untuk keperluan pertumbuhan pada peringkat remaja.


PANDUAN PEMAKANAN UNTUK KANAK-KANAK PETATIH DAN PRA-
SEKOLAH

Alam kanak-kanak adalah masa yang kritikal kerana ini adalah masa dimana mereka memupuk tabiat kesukaan kepada sesuatu makanan. Tabiat pemakanan yang betul perlu dititikberatkan di peringkat ini. Berikut adalah panduan untuk anda:
  • Berikan anak anda makanan seimbang mengikut Piramid Makanan Malaysia (Piramid makanan mungkin berbeza di negara lain disebabkan oleh perbezaan makanan ruji mereka). Bukan setiap hidangan perlu mengandungi semua kumpulan makanan tetapi hidangan hendaklah seimbang dan mengandungi pelbagai jenis makanan setiap hari.
  • Pada usia ini, pengambilan susu berkurangan. Jadi, adalah penting untuk memberikan makanan yang sesuai daripada jenis makanan lain.
  • Mulakan dengan memperkenalkan jadual waktu makan 3 kali sehari dan makanan snek antara waktu makan.
  • Berikan susu semasa waktu snek. Anak anda mungkin rasa kenyang dan mungkin enggan makan jika susu diberi pada waktu makan utama.
  • Tambah jenis makanan baru secara perlahan-lahan agar anak anda tidak merasai pelbagai rasa pada masa yang sama.
  • Ketika memasak makanan untuk keluarga, asingkan sebahagian untuk anak anda sebelum menambahkan rempah ratus.
Pemakanan berpandukan piramid makanan

·        Makanan berkhasiat penting untuk anak anda kerana ia:
  • Membekalkan nutrien untuk perkembangan dan pertumbuhan.
  • Membekalkan tenaga untuk aktiviti fizikal dan mental.
  • Membantu dalam mengekalkan ketahanan badan terhadap jangkitan.
  • Menyediakan bekalan nutrien yang cukup untuk keperluan pertumbuhan pada peringkat remaja.



No comments:

Post a Comment